KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah Brent berpotensi mencecah AS$110 hingga AS$120 setong jika Russia memutuskan untuk menyerang Ukraine, demikian pandangan RHB Research.
Dalam nota penyelidikannya, ia berkata, harga komoditi itu boleh kekal tinggi untuk tempoh yang panjang bergantung kepada magnitud kejadian.
Katanya, dengan tentera Russia dan peralatan ketenteraan diletakkan dalam jangkauan sempadan Ukraine, dan perbincangan antara Russia dan Amerika Syarikat (AS) tidak menghasilkan kejayaan material ketika penulisan penyelidikan itu ditulis, harga minyak berkemungkinan kekal meningkat sementara menunggu penyelesaian.
Dilaporkan bahawa Presiden Perancis, Emmanuel Macron telah merujuk Perjanjian Minsk 2015 antara Kyiv dan Moscow sebagai pelan tindakan untuk satu kejayaan dalam krisis Ukraine.
"Kami menjangkakan harga minyak akan meningkat kepada purata AS$100 setong pada suku kedua 2022, dan tetapi masih menganggap tidak akan berlaku kerosakan bekalan dalam jangka panjang.
"Harga minyak berpotensi mencecah AS$110 hingga AS$120 setong jika perang menjadi kenyataan, dan akan kekal lebih tinggi untuk lebih lama, bergantung pada magnitud kejadian," katanya.
RHB Research berkata, jika tiada peperangan, penyederhanaan harga masih boleh berlaku pada separuh kedua 2022.
Ia berkata, pihaknya masih mengekalkan unjuran harga yang lebih rendah pada AS$80 hingga AS$88 setong pada separuh kedua 2022 berikutan tekanan bekalan yang lebih tinggi daripada Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan Sekutu (OPEC+), selaras dengan jadual pengeluaran dan lantunan semula yang berpotensi lebih kukuh dalam pengeluaran AS memandangkan kiraan pelantar di negara itu masih meningkat.
Katanya, unjuran Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) mengenai pengeluaran minyak AS pada 2022 dan 2023 adalah disemak meningkat kepada 12 juta tong sehari dan rekod 12.6 juta tong sehari berbanding 11.8 juta tong sehari dan 12.4 juta tong sehari dalam laporan terkininya.
RHB Research berkata, laporan bulanan OPEC bagi Februari 2022, permintaan minyak tahun ini kekal tidak berubah berbanding bulan lalu.
Ia berkata, pertumbuhan permintaan minyak global masih diunjurkan pada 4.2 juta tong sehari dari tahun ke tahun kepada jumlah permintaan 100.8 juta tong sehari untuk 2022, berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global sebanyak 4.2 peratus.
"Ini dengan andaian akan terdapat pemulihan yang lebih kukuh dalam permintaan bahan api oleh negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan bukan OECD. Kesan daripada varian Omicron nampaknya ringan dan berjangka pendek," katanya.