Dagangan ringgit dibuka rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit dibuka rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit terus dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh susulan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) telah dikeluarkan, kata penganalisis.

Pada pembukaan dagangan, mata wang tempatan merosot kepada 4.2145/2180 berbanding dolar AS daripada 4.2130/2155 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata minit mesyuarat FOMC telah mempengaruhi penanda aras ekuiti utama.

"Terdapat perbincangan yang jelas mengenai cara Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengurangkan saiz lembaran imbangannya," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, menurut minit itu, pilihan yang ada dijangka lebih agresif berbanding pengalaman pada 2017-2019.

Fed telah mengurangkan saiz lembaran imbangannya daripada AS$4.45 trilion pada awal 2017 kepada AS$4.17 trilion, pengurangan kurang daripada AS$1 bilion, katanya.

"Fed menyatakan bahawa pasaran buruh yang terhad dan inflasi yang meningkat mewajarkan permulaan pengurangan lembaran imbangan.

"Ini akan menjadi tumpuan dalam dagangan hari ini. Sementara itu, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat sebanyak 0.13 peratus kepada 99.59 mata," katanya.

Oleh itu, beliau menjangka ringgit akan diniagakan dalam julat RM4.21-RM4.22 hari ini.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding pound apabila ia meningkat kepada 5.5109/5155 daripada 5.5178/5210 pada Rabu.

Unit tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1007/1035 daripada 3.1001/1021, susut berbanding yen Jepun kepada 3.4095/4126 daripada 3.4014/4034 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.5989/6027 daripada 4.5964/5991 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini