Pasaran saham global, harga minyak merudum - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pasaran saham global, harga minyak merudum

 


WASHINGTON: Pasaran saham global menjunam manakala harga minyak merosot apabila minit mesyuarat bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) menambah kepada jangkaan kenaikan kadar faedah.

Beberapa pegawai Fed menyokong kenaikan kadar faedah sebanyak separuh mata peratusan bagi menangani inflasi, demikian menurut minit mesyuarat bank pusat itu bulan lalu.

Pegawai bank pusat turut membincangkan untuk mengurangkan pegangan bon sebanyak AS$95 juta sebulan seawal mesyuarat akan datang pada 3 hingga 4 Mei depan, demikian menurut minit berkenaan.

Pendedahan itu menambah kepada beberapa kenyataan daripada pegawai Fed sebelum ini, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa usaha bank pusat itu untuk membendung kenaikan harga boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

"Pasaran kekal tidak bimbang dengan implikasi ekonomi tindakan yang amat agresif oleh Fed dan potensi berlaku kesilapan dasar," kata bank pelaburan Charles Schwab dalam satu nota.

Wall Street menjunam buat sesi kedua berturut-turut, dengan S&P 500

jatuh satu peratus dan saham syarikat teknologi utama seperti Amazon, Meta dan Microsoft semuanya susut lebih daripada tiga peratus.

Bursa saham Asia dan Eropah merosot dalam dagangan awal, manakala euro mencecah paras terendah dalam tempoh sebulan.

"Keyakinan pelabur mungkin meningkat daripada tahap rendah awal Mac apabila perang di Ukraine mula tercetus," kata pengarah pelaburan AJ Bell, Russ Mould.

"Bagaimanapun, terdapat ketidaktentuan ketara bagi saham dan masalah terbaharu adalah apa yang boleh dilakukan oleh Fed untuk membendung inflasi."

Kebimbangan berhubung potensi kelembapan ekonomi disebabkan kadar faedah lebih tinggi turut mempengaruhi harga minyak, yang merosot lebih daripada lima peratus.

Penganalisis turut merujuk kepada pengumuman daripada Agensi Tenaga Antarabangsa yang mengumumkan rancangan untuk melepaskan simpanan minyak mentah selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine mencetuskan ketidakstabilan pasaran minyak.

Data daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga AS turut menunjukkan berlaku peningkatan di luar jangkaan inventori minyak mentah.

Penurunan harga minyak mentah berlaku ketika Demokrat dalam Kongres AS mendesak supaya ketua-ketua pegawai eksekutif daripada ExxonMobil, Chevron serta gergasi minyak lain menjelaskan sebab harga bahan api dinaikkan.

Eksekutif minyak menolak dakwaan bahawa mereka menahan bekalan untuk meningkatkan harga, sebaliknya menjelaskan sedang dalam proses menambah pelaburan bagi bertindak balas terhadap harga komoditi yang lebih tinggi.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini