Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk dibuka rendah pada Jumaat, berikutan mata wang negara maju itu mengukuh dalam situasi data ekonomi AS yang positif, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.2185/2220 berbanding dolar AS daripada 4.2180/2210 ketika ditutup pada Khamis.

Menurut laporan, tuntutan pengangguran awal berasaskan mingguan di AS berkurangan kepada 166,000 minggu lepas daripada 171,000 pada tempoh sebelumnya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data itu menunjukkan pasaran buruh AS bertambah baik kerana tuntutan untuk faedah pengangguran negeri berkurangan dalam kalangan rakyat Amerika.

"Dolar AS terus meningkat apabila pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) kekal konsisten dengan pendirian untuk mengetatkan monetari mereka.

"Ini mendorong hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi dengan nota berjangka 10 tahun merekodkan hasil lima mata asas lebih tinggi kepada 2.66 peratus, membentuk keluk hasil yang lebih curam memandangkan kadar jangka panjang meningkat melebihi sekuriti berjangka pendek," katanya.

Beliau berkata ekuiti penanda aras juga tinggi, menandakan minat risiko dalam kalangan pelabur bertambah baik.

Presiden Fed St. Louis, James Bullard dilaporkan memilih Kadar Dana Fed antara 3.0 peratus dan 3.25 peratus menjelang separuh kedua 2022, manakala Presiden Fed Chicago, Charles Evan cenderung untuk menaikkan kadar faedah ke tahap neutral.

Mohd Afzanizam berkata justeru, Indeks Dolar AS (DXY) telah meningkat sebanyak 0.15 peratus kepada 99.751 mata, petanda bahawa peserta pasaran masih memegang mata wang selamat itu.

Oleh yang demikian, ringgit sewajarnya kekal dalam lingkungan 4.21 hingga 4.22 hari ini.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0964/0992 daripada 3.0996/1021 ketika ditutup pada Khamis, dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5813/5851 daripada 4.5942/5975.

Ringgit tinggi berbanding pound British kepada 5.5127/5173 daripada 5.5188/5228 semalam dan stabil berbanding yen Jepun kepada 3.4070/4101 daripada 3.4093/4120.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini