KUALA LUMPUR: Ringgit berakhir sedikit lemah berbanding dolar AS pada hari dagangan terakhir minggu ini, diasak oleh dolar AS yang lebih kukuh selepas data ekonomi AS yang memberangsangkan melebihi jangkaan pasaran.
Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.5055/5100 berbanding dolar AS, daripada penutupan pada hari Khamis iaitu 4.5030/5080.
Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata data ekonomi AS terkini mencatatkan prestasi melebihi jangkaan. Angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) telah disemak semula naik ke atas, manakala tuntutan awal pengangguran berkurangan, menunjukkan pertumbuhan pekerjaan yang kukuh disokong oleh perbelanjaan pengguna yang tinggi.
"Akibatnya, hasil bon AS sepuluh tahun meningkat, menguatkan dolar pada peringkat awal. Ini menyebabkan pedagang mengurangkan jangkaan pemotongan kadar faedah pada 2025 kepada kurang daripada dua yang pada awalnya dijangkakan oleh Rizab Persekutuan," katanya kepada Bernama.
Biro Analisis Ekonomi AS pada Khamis menyemak semula kadar pertumbuhan KDNK suku ketiga kepada 3.1 peratus setahun, meningkat daripada 2.8 peratus.
Sementara itu, Jabatan Tenaga Kerja AS melaporkan penurunan sebanyak 22,000 dalam tuntutan awal pengangguran bagi minggu berakhir 14 Dis 2024, menjadikan jumlahnya kepada 220,000 secara bermusim, mencerminkan pasaran buruh yang kukuh.
Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6328/6384 daripada 5.6999/7062 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6776/6823 daripada 4.6876/6928 pada Khamis.
Bagaimanapun, ia melemah berbanding yen Jepun kepada 2.8747/8779 daripada 2.8687/8723.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit menunjukkan prestasi bercampur.
Ia susut berbanding baht Thailand kepada 13.0670/0861 daripada 13.0322/0530, rupiah Indonesia kepada 277.7/278.1 daripada 276.0/276.4, dolar Singapura kepada 3.3146/3181 daripada 3.3130/3169, dan peso Filipina kepada 7.66/7.67 daripada 7.63/7.64.