KUALA LUMPUR: Mata wang serantau termasuk ringgit berdepan tekanan yang besar susulan unjuran yang dibuat oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) untuk tahun depan.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata unjuran dan penilaian terkini Rizab Persekutuan (Fed) dilihat positif untuk dolar Amerika Syarikat (AS), terutamanya ketika ekonomi negara G7 lain bergelut dengan keadaan ekonomi yang lemah dan mungkin cenderung untuk melonggarkan dasar monetari bagi menyokong pertumbuhan.
"Sepanjang 2024, ringgit menunjukkan prestasi yang baik sehingga suku ketiga, dengan kadar pertukaran berbanding dolar AS mencecah RM4.1235 pada 30 September, mencerminkan kenaikan sebanyak 11.4 peratus sejak awal tahun.
"Namun, ringgit susut nilai sebanyak 8.4 peratus berbanding dolar AS sejak 30 September 2024," katanya dalam satu nota, hari ini.
Mohd Afzanizam berkata, jangkaan inflasi di AS, walaupun kekal tinggi, tidak meningkat secara mendadak selepas mesyuarat FOMC.
"Ini menunjukkan bahawa Fed berjaya menyampaikan mesej bahawa pendirian dasar monetarinya kekal ketat, membantu mengurangkan risiko inflasi yang tidak terkawal.
"Keupayaan Fed mengekalkan kredibilitinya dalam mengurus inflasi adalah kritikal, kerana ia menghalang hasil bon nominal daripada meningkat terlalu tinggi. Ini seterusnya membantu memastikan kos pinjaman dalam pasaran kredit kekal terkawal, menyokong kestabilan ekonomi," katanya.
FOMC memuktamadkan mesyuarat pada 17 hingga 18 Disember 2024 dengan memutuskan pelarasan kadar faedah terakhir bagi tahun ini.
Jawatankuasa itu mengundi 11-1 untuk menurunkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) sebanyak 25 mata asas, menetapkan kadar faedah penanda aras pada julat 4.25 peratus hingga 4.50 peratus, turun daripada 4.50 peratus hingga 4.75 peratus.
Satu-satunya undi tidak bersetuju dibuat oleh Presiden Bank Fed Cleveland, Beth M Hammack, yang lebih gemar mengekalkan kadar semasa.
Kenyataan Fed turut menekankan penilaiannya bahawa risiko antara pertumbuhan ekonomi dan inflasi kini agak seimbang, dengan tumpuan berhati-hati pada tekanan inflasi.
Pendekatan itu juga dicerminkan dalam unjuran suku tahunan terkini Fed yang meramalkan FFR akan menurun kepada 3.9 peratus pada akhir 2025, satu semakan daripada unjuran September sebanyak 3.4 peratus.
Akibatnya, jangkaan pengurangan kadar bagi tahun 2025 telah diselaraskan daripada 100 mata asas kepada 50 mata asas. Selain itu, unjuran inflasi untuk 2025 juga dinaikkan daripada 2.1 peratus kepada 2.5 peratus, menandakan kebimbangan berterusan terhadap risiko inflasi yang berpanjangan.